Peranan ibu bapa pada tahun-tahun tumbesaran (adolescent) bagi anak-anak adalah amat kritikal. Pada fasa ini, ia akan menentukan pola dan bentuk pemikiran anak-anak, seperti sabda nabi SAW mafhumnya:
“Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) seperti kain putih, ibu-bapalah yang mencorakkannya samada menjadi Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”
Kanak-kanak pada fasa awal umur tumbesaran amat mudah meniru tindakan dan perilaku orang yang lebih matang daripadanya. Kajian psikologi membuktikan bahawa mereka mampu untuk melakukan imitasi berdasarkan observasi terhadap perilaku orang tua. Bahkan, bukan sahaja perbuatan, malah juga kata-kata mereka. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak sedari kecil sudah pandai bergaya atau berfesyen. Masalah yang berlaku di sini ialah ibu bapa hanya memandang simptom-simptom ini sebagai penanda aras kebijakan anak-anak semata-mata, bukannya penanda bermulanya gejala kurang sihat dari kalangan anak-anak, ataupun kemampuan mereka untuk mengikut apa sahaja tindakan orang yang lebih dewasa, sekalipun perbuatan yang negatif.
Ketika berkunjung ke Hutan Lipur Kanching, anak-anak pada fasa tumbesaran ini adalah yang paling banyak berkunjung ke tempat tersebut, selain daripada orang dewasa dan juga pelancong. Semasa melihat dan memerhati perilaku mereka, maka dengan mudah saya mampu untuk membuat penaakulan bagaimana mereka dibesarkan dalam keluarga mereka. Ramai yang tidak malu-malu untuk mendedahkan aurat mereka apalagi tanpa rasa malu bertepuk tampar dengan berlainan jantina.
Islam tidak menghalang sosialisasi, namun Islam senantiasa memastikan bahawa ianya terkawal dan sederhana atas sebab-sebab yang munasabah. Ini amat relevan, kerana pada fasa pertengahan dan akhir tumbesaran menuju fasa dewasa, anak-anak pada fasa ini, mengalami peningkatan hormon dan juga syahwat. Ia juga ialah fasa di mana anak-anak berada pada peringkat pencarian identiti atau lebih tepat fitrah. Maka gejala-gejala sosial bersama-sama dengan jentera-jenteranya seperti kumpulan-kumpulan minoriti ini adalah perkara yang paling hampir dan mudah untuk mereka akses. Maka tidak hairanlah kalau kita melihat banyak daripada kalangan remaja menyertai kumpulan-kumpulan ini, kerana kepada mereka ia sesuai dengan jiwa mereka yang muda, perubahan hormon yang semakin aktif, dan fasa pencarian identiti.
Hakikatnya ialah, kita melihat dan merenung nasib generasi baharu kita, generasi pemimpin masyarakat, agama, bangsa dan negara kita di masa hadapan. Teringat kata-kata seorang sahabat nabi SAW: “Kalau engkau ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda-pemudanya.” Kita perlu realistik, apakah ini generasi yang akan memimpin anak-anak kita, bangsa kita, negara kita di masa hadapan? Apakah sedikitpun kita tidak berasa gusar dan bimbang? Atau kita merasakan bahawa anak-anak kita tidak akan mampu menjadi pemimpin besar? Kalau begitu, kita adalah ibu-bapa yang pesimis, mungkin kita juga perlu pertimbangkan untuk tidak berkahwin langsung dan melahirkan anak.
Sampai bila agaknya baharu kita akan mengambil tindakan kepada gejala-gejala yang semakin membarah ini? Adakah apabila bayi-bayi yang dibunuh dan dibuang mencecah ribuan? Atau apabila pusat-pusat serenti penuh dan sarat dengan penagih-penagih? Sedangkan daripada kalangan pemimpinpun hal ini berlaku kita boleh berdiam diri dan masih memilih dia sebagai orang yang memimpin kita apalagi di kalangan orang biasa, anak-anak kita.
Sekalipun kita berada dalam biah tarbiyyah dan solehah, kita tidak boleh mengambil ringan soal peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Kita tidak boleh mengharapkan bahawa anak-anak akan memerhati dan mengambil pengajaran daripada biah yang ada dalam rumah atau mengharapkan bahawa ikhwah dan akhwat di luar akan membantu dalam mendidik dan mentarbiyyah anak-anak, kerana masa yang paling banyak diluangkan oleh anak-anak tetap bersama ibu-bapa. Pembinaan tsiqah anak-anak kepada kedua ibu bapa amat penting dan signifikan kepada pembentukan pola pemikiran dan pemahaman akal tentang konsep tarbiyyah yang diwar-warkan oleh ibu bapa. Dengan tsiqah, anak-anak melihat bahawa ibu bapanya bukan sahaja penggerak amal dakwah di luar, tetapi juga di dalam rumah, dan tidak aktif semata-mata di luar, tetapi juga di dalam rumah.
Jangan nanti, kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Maka janganlah salahkan orang lain kalau silapnya pada diri sendiri. Kita sebagai ibu bapa amat berharap bahawa anak-anak akan mengikut jejak langkah kita dalam organisasi dakwah yang kita gerakkan, namun kita sibuk mentajmi’ dan mentarbiyyah orang di luar, anak-anak di rumah kita harapkan akan mendapat tempias dakwah dan tarbiyyah yang kita usahakan dan kita juga berharap itu cukup untuk membina tsiqah kepada anak-anak tanpa kita sendiri mentajmi’ dan mentarbiyyah mereka. Secara psikologi dan logik akal, hal ini amat jauh panggang dari api.
Ibu-bapa sendiri perlu kembali kepada Islam yang sebenar, kerana tanpa ilmu dan amal, mereka tidak mampu untuk menjadi qudwah kepada anak-anak, juga untuk membina tsiqah pada diri mereka. Islam yang dibawa dan diterapkan oleh ibu-bapa juga perlu secara total dan bukan dalam sebahagian hal sahaja seperti hanya solat, puasa, raya, tetapi tidak kepada akhlak dan izzah kepada Islam. Sebelum ibu-bapa menjadi qudwah masyarakat, mereka pertama sekali perlu menjadi qudwah utama di dalam rumahtangga kerana lapangan yang lebih utama ialah rumahnya sendiri. Ibu-bapa juga perlu untuk mempraktikan stail keibubapaan yang membantu pembentukan syakhsiah anak-anak tanpa memberi kebebasan total kepada mereka.
Saya telah menjelaskan secara terperinci negativiti pergaulan bebas (baca: sosialisasi melampau) dalam artikel yang lepas dan mengaitkan ibu-bapa sebagai faktor yang menyumbang ke arah kesumbangan tersebut. Tanpa sebarang penafian, ibu-bapa adalah insan yang paling rapat dan signifikan dalam pembentukan kendiri mahupun pola pemikiran anak-anak. Sehingga pada satu tahap anak-anak mampu untuk berfikir sendiri, dan membuat keputusan yang akan membelakangi kedua orang tua mereka, ketika itu, penyesalan tidak berguna. Situasi seperti ini tidak asing lagi daripada didengari dan dilihat oleh kita, tidak perlulah disebut satu-satu.
Bila lagi ummat ini akan mengembalikan maruahnya? Bila lagi baharu kita akan dipandang mulia oleh Allah dan diperteguhkan kekuatan dengan jaminan-Nya? Jawapannya hanya ada pada kita, sebagai ummat yang sedar dan faham, serta ibu-bapa yang akan mencorak anak-anak kita
Copy from .http://thetalkingpen.blogspot.com/